Thursday, January 21, 2010

Antara Diam dan Bercakap: Mana Satu Yang Terbaik?

Jika ada sesuatu topik, biasanya ada dua pendapat yang saling bertentangan. Satu kelompok kata A, dan satu lagi kumpulan akan kata B. Sampai satu tahap, jika kumpulan B tidak setuju dengan pendapat kumpulan A, maka akan timbullah perkelahian dan tidak puas hati.

Apa yang ingin saya perkatakan pada hari ini bukanlah mengenai perbalahan secara berkumpulan, tetapi kita (individu). Pada pendapat anda, yang mana satukah tindakan terbaik? Berkata sesuatu (pendapat) atau berdiam diri tanpa berkata apa-apa?
Kadang-kadang, timbul satu perasaan serba-salah. Kalau bagi pendapat, ada pihak yang berduka-cita dan terasa. Kalau tak bagi pendapat, maka mungkin lagi parah jika tidak turut memberi pendapat kerana kadang-kadang pendapat kita itulah jawapan yang boleh membantu.

Itu satu hal. Kadang-kadang, apa yang kita tulis sama ada di blog atau forum akan dianggap lain maksudnya oleh orang lain. Padahal kita maksudkan lain. Jadi adakah tanpa perlu tulis apa-apa adalah jalan terbaik agar tiada orang yang terguris hati?

Ya, memang tak semua orang kita boleh jaga hati mereka. Kita tidak mampu kerana semua orang mahu puaskan hati sendiri. Tapi persoalan di sini, yang mana satukah tindakan terbaik untuk dilakukan di dalam satu-satu keadaan? Bercakap atau berdiam diri? Kalau nak bercakap atau menulis juga, apakah cara yang terbaik?
Ada satu tip yang mungkin anda sudah tahu iaitu cara kita menulis, bercakap atau menyampaikan sesuatu pendapat. Si A dan B cakap benda sama, tapi si A cakap dengan nada yang marah-marah dan emosional. Si B pula cakap dengan relaks, profesional dan mengawal setiap patah perkataannya.
Pada anda, siapakah yang lebih mudah diterima? Biasanya orang jenis Si B tadi kerana beliau tidak emosional. Jadi itu satu cara untuk menulis atau mengatakan sesuatu iaitu cara kita menyampaikan.

NAMUN…
Tak semua perkara kita perlu sertai sekali. Orang kata, jangan nak menyibuk dengan perkara yang tidak perlu. Sebab ia adalah salah satu jerat yang memakan banyak masa anda, walaupun ia perkara yang baik.

Pendek kata, berfikirlah dahulu sebelum berkata-kata. Perlu atau tidak? Jika perlu, maka susunlah ayat-ayat yang ingin dikatakan dengan sebaik mungkin.
Namun perlu ingat. Sebaik mana pun ayat-ayat anda, masih tetap ada mereka yang tak akan puas hati. Maka di sinilah pentingnya anda mengawal emosi agar tidak tergelincir dengan ayat-ayat yang boleh mencalarkan nama dan kredibiliti anda.
Selain itu, dengan bersifat toleransi atau bertolak-ansur, insyaAllah tidak akan berlakunya pertikaman lidah. Walaupun pendapat orang lain tidak tepat, tetapi dengan bertolak ansur dan tidak memanjang-manjangkan perbincangan, maka pergaduhan boleh dielakkan.

Di dunia ini, anda tidak akan mampu mengawal semua hati manusia. Sebaliknya anda hanya mampu dan perlu berusaha sebaik yang mungkin sahaja. Orang suka atau tidak, itu bukan masalah anda, tapi ia adalah ‘masalah’ mereka…

Seperti biasa saya tinggalkan anda dengan satu persoalan..

Yang mana satukah yang terbaik ?
‘Orang yang baik-baik sahaja yang bercakap atau bercakap yang baik-baik sahaja’.

No comments:

Post a Comment