Friday, November 25, 2011

ENIGMA


Sahabat A: Aku dengar, perempuan yang kau sangat cintai itu tak balas cinta kau.
Sahabat B: Ya.
Sahabat A: Tapi kenapa aku tengok engkau tidak bersedih pun?
Sahabat B: Buat apa aku nak bersedih? Aku hanya kehilangan orang yang tidak cintakan aku. Tetapi dia kehilangan orang yang benar-benar mencintai dirinya. Mungkin dia tak ditakdirkan untuk aku. Mungkin ada jodoh yang lebih baik dari aku untuknya.
Sahabta A: Ya betul tu. Dan Allah SWT sudah sediakan jodoh yang terbaik buat kau. Bersabarlah sahabatku.

Sunday, March 6, 2011

Aku dan vespa



suatu masa yg dahulu....

Sunday, January 23, 2011

DR MAZA

ini cerita purba lama..
di kala puisi ini di baca, ia sudah menjadi lagenda..
di sebuah negara bangsa, yang hanya tinggal nama..
sebuah kisah yang sudah mengubah sejarah
pada hari raja dan bendahara sudah pun tiada
hanya tinggal kenangan, sebuah kerajaan yang keguguran

suatu tika..
ketika sang raja melata dengan bangganya,
konon, mencemar daulat, menziarahi rakyat..
maka sekelian rakyat, dikerah penat..
sang raja dihidang bukan sebarangan..
agar istana terus muliakan,
lantas ditulis kata ‘raja berjiwa hamba’

tampillah seorang rakyat yang penuh nekad..
kata penjaga: jangan hampiri duli raja!
…kamu hanya rakyat biasa, tiada pangkat, tiada nama
Jawabnya: tapi aku rakyat yang punyai hajat!
terus sahaja dia ke hadapan, tidak dapat ditahan..
dengan penuh takwa di dada dia berbicara:
Wahai sang raja! Hati apakah saudara?
tergamak membina istana harga ratusan juta laksa..
ketika rakyat hidup penuh sengsara..
tatkala kami membilang-bilang suapan harian,
anak-anak yang hendak diberikan makan..
pakaian keperluan yang wajib disediakan..
dengan penuh lelah dan susah..
bayaran sekolah dan madrasah..
harga makan yang melambung..
atap bocor yang belum ditampung..
lantai berbunyi yang makin canggung..
anak ramai yang hendak ditanggung..
malang sekali…
khazanah bumi yang patut dikongsi..
dihabiskan untuk istana sang duli..
dipotong segala bantuan dan subsidi..
untuk kerakusan nafsu berahi..
duli-duli dan menteri-menteri..
pengampu-pengampu di sana-sini..
syaitan atau sultan, bendahara atau buaya..
nampaknya sama sahaja..
menteri atau pencuri,
pengampu atau penyapu..
sudah tiada bezanya..
terus berfoya dengan harta negara..
sedangkan…
keringat kami tidak pernah berhenti..
airmata kami terus mengiringi..
derita ini terus kami warisi..
ketika kemewahan raja dan bendahara..
dilapor dalam berbagai riwayat berita..
kisah duka rakyat, siapakah yang mempedulikannya?
Aduhai celakanya…
dalam sengsara rakyat jelata..
kalian tambah istana dan kota..
sedangkan yang lama masih boleh diguna..
rumah buruk kami pula, siapa yang akan bina?
apakah jenis manusia? apakah jenis raja, begini rupa?
apakah jenis memanda dan bendahara…
yang sanggup bersekongkol dosa?!

Maka murkalah sang raja..
“derhaka! kamu menentang beta!
beta penjaga agama, jangan sebarangan bicara!”
titah mengadap ahli fatwa, supaya hukum dapat diguna..
kepada penderhaka yang menentang kesucian kita
panggil setiap yang patut, tangkap dia atas nama penghasut!

maka bersuara ahli fatwa:
..atas nama agama kita, hai orang desa,
kamu rakyat derhaka yang berdosa..
menurut hukum tuhan, raja mesti dimuliakan..
tiada engkaran, tiada soalan..
hanya kata: menjunjung titah, tanpa bantah!

Hairan sang rakyat, seraya berkata: kamu siapa?
Sanggup kamu membela dosa mengguna nama agama?
Jawabnya: kamu ternyata hanya orang biasa..
tidak kenal orang berkedudukan mulia..
ana sang mufti yang dilantik duli..

Berkata sang rakyat: aduhai, malang sekali kamu sang mufti,
Tidaklah kamu dikenali, tidaklah kamu diperduli..
Dengan nama Rabbul Izzati, aku ingin kau beri erti,
apakah tugas anta selama ini?

Terkedu sang mufti, jantung berdegup
Tapi..terpaksa disahut:
Ya! Kerja kita membela baginda raja..
agama Tuhan kami guna,
siapa derhaka kami hukum dosa,
siapa terima, kami janjikan syurga..
setiap keramaian yang diada..
kami puja, kami dewa sang raja..
dengan doa-doa yang dicipta..
atas mimbar jumaat,
ataupun di majlis tarian memikat..
rakyat mengamin, kami menjamin..
maka duli tidak perlu diri dicermin..
kami kata tuanku sekelian sebaik-baik pemimpin..

kata sang rakyat: wahai sang mufti!
jika kau pernah mengaji,
jika kau tahu firman ilahi,
jika kau faham sabda Nabi..
apakah hukum istana ratusan juta harga atas derita jelata?
Jelaskan, halal atau haram wang yang dicengkam?
jawab sang mufti: hukum itu tiada dalam agama, jangan ditanya!
katanya pula: apakah hukum rakyat yang tidak bercermat?
dengan cepat mufti menjawab:
dia berdosa, tempatnya dalam neraka..

maka baranlah sang rakyat, bangkit dengan semangat,
diasak terus sang mufti dengan sindiran bertubi:
ketika duli pergi berjudi,
habis dibelasah wang negeri,
apakah fatwa kau sang mufti?
Ketika duli mabuk arak,
habis agama berselerak,
di mana mufti terletak?
ketika raja bersenda berpoya,
habis jadi cerita rakyat jelata,
ke kota sini dan ke sana,
wang negara enak dibelanja,
sang mufti kau di mana?

Marahlah sang mufti kesayangan duli:
Diam! Derhaka hukumnya haram!
sang raja penjaga agama,
mereka payung kita,
jangan dipersenda, itu satu dosa..
mati mereka kami adakan upacara doa..
ramai yang akan membaca..
imam-imam besar dibayar..
pahala-pahala akan dihantar..

sang rakyat masih baran:
wahai mufti pilihan!
apakah Tuhan menerima pahala bacaan
dari upah wang rakyat yang dimakan?!
aku sekali lagi ingin bertanya:
Apakah hukum istana,
yang dibina atas airmata rakyat jelata?

Titah Raja: Panggil menteri, hukum si degil ini!
dia cuba menghasut rakyat dan negeri!
tidak hormati mufti, dan kesucian duli-duli..

datanglah menteri dengan pantas:
“kau penderhaka, kau pengganas,
mesti ditangkap, mesti diberkas,
agama pun dah kata kau berdosa,
maka kau dihukum tanpa perlu dibicara..

berkata sang rakyat yang dihina,
sambil tunduk dengan airmata:
aku kenal Tuhan, agamaNya, juga negara,
bukan seperti yang kalian dusta..
agama bukan untuk melindungi dosa raja,
agama bukan untuk mempertahan noda penguasa
agama bukan untuk menzalimi rakyat jelata,
agama bukan untuk penindasan orang bawahan,
agama Tuhan untuk keadilan sekelian insan
Tuhan lagi membicarakan hamba-hambaNya,
setiap pahala dan dosa ditimbang seadilnya,
bagaimanakah aku disalah tanpa mahkamah?
Apakah kamu melebihi Tuhan Yang Maha Rahmah?

Sekali lagi aku bertanya:
apa hukum membina istana dengan sengsara rakyat jelata?
aku datang dari desa yang dihimpit berbagai perit,
aku datang dari keluarga yang rendah tanpa mewah,
mengira setiap belanja dan harga,
mengundi setiap barang yang dibeli
menunggu setiap detik kehadiran gaji,
apabila aku bertanya kemewahan istana dan pembesarnya,
harta para penguasa bangsa dan kuncu mereka
dari wang negara dan harta kita,
lalu kamu menyebut tentang dosa dan derhaka..
kalian dan raja memang menempa neraka..
dan sedang meruntuhkan negara..
atas derita kami rakyat yang sengsara...

maka, ditangkaplah wira rakyat,
tiada siapa yang mampu menyekat..

kendati, dia dilupa,
dihukum tanpa bicara..
namun puisi ini, tetapi merakam memori,
untuk pertiwi yang disayang,
juga wira yang tidak didendang..

Tuhan tidak akan lupa,
setiap kezaliman ada balasannya,
harga istana yang dibina, akan tetap dibicara,
wang rakyat yang ditelan, tetap dipersoalkan,
Di Mahkamah Tuhan Yang Maha Memberikan Keadilan!

2/7/10,
Penang.