Friday, July 3, 2009

Kelewang




Nama pun dah pelik. Tapi tak lah pelik sangat bila kita tengok dengan mata sendiri. Semasa menjalani praktikal, saya sempat bertemu dengan seorang pengumpul senjata-senjata tradisi. Kerambit, keris, kapak binjai,parang lading,lawi ayam. Kebanyakan senjata tersebut memang agak pelik, pelbagai asal usul dan bermacam guna. Kelewang adalah salah satunya.



Senjata ini amat popular dan menjadi kegemaran masyarakat kelantan di samping kapak. Ini kerana apabila menetak ia lebih stabil. Tedapat sejenis lagi kelewang yang dipanggil kelewang jambul. Bezanya hanya tambahan jambul pada bahagian atas sahaja. Kadang-kadang bahagian hujung kelewang dicucuk pada benda-benda seperti putik kelapa yang saiznya lebih kecil daripada penumbuk. Ini dilakukan katika kelewang ini dibawa berjalan dalam kumpulan atau kawasan orang ramai. Ini kerana hujungnya yang tajam dikhuatiri akan tercucuk kepada orang yang berada berdekatan.

Kelewang tergolong dalam kumpulan parang panjang yang bilahnya melengkung. Ada kalanya muncung bilah dibengkokkan ke bawah bagai paruh burung yang disebut kelewang pucuk berkait. Hulunya pula sama seperti hulu parang biasa, diperbuat daripada kayu dan diperkukuhkan dengan sigi. Bilah kelewang lebar di tengah, kecil dan tebal dipangkal serta mempunyai muncung yang runcing. Kelewang juga dianggap sebagai senjata kecemasan terutama terhadap ular. Kelewang digunakan juga bagi menebas rumput, membersihkan kawasan sekeliling rumah atau kebun dan juga dusun. Ia diguna secara sabitan rumput atau hayunan secara berpusing bergantung kepada kemahiran penggunanya.

Pada zaman dahulu masyarakat Kelantan sering bergaduh di tempat-tempat hiburan seperti pertunjukan wayang kulit dan dikir barat. Bagi yang membawa kelewang mereka biasanya dengan selamba menjadikannya sebagai lapik duduk tanpa disedari oleh musuh-musuh mereka. Bagi mereka yang taksub dengan kelewang, banyak benda magis dimasukkan pada kelewang. Antarannya dimasukkan biji-biji besi kuning pada bahagian berhampiran jambul untuk mencantikkan kelewang. Pendek kata kelewang amat rapat dengan masyarakat/generasi tua Kelantan.

Dari Sumber yang boleh dipercayai

No comments:

Post a Comment